Wednesday, August 26, 2009

IST... NAK PRK LAGI KA NI...?

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tidak akan menimbangkan semula keputusan mahu wakil rakyat Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif digugurkan kerana gagal menghadiri persidangan DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

Tegasnya, beliau tetap dengan pendiriannya itu kerana tiada ruang untuk membuat pertimbangan mengikut peruntukan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sekalipun berasaskan budi bicara.

“Nak timbang macam mana kerana peruntukan itu begitu tegas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan agar menimbangkan semula keputusannya yang mahu Abu Hasan mengosongkan kerusinya berdasarkan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom semalam dilaporkan berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas seharusnya menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri itu daripada memenuhi kepentingan diri semata-mata.

“UMNO tidak menafikan kesalahan Abu Hasan tetapi perkara itu boleh diselesaikan tanpa melalui pilihan raya kecil,” katanya.

Abdul Isa berkata, dalam soal ini, ADUN Kota Siputeh itu tidak seharusnya meminta maaf kepada beliau berhubung kegagalan menghadiri sidang DUN kerana mendakwa kesalahan itu dilakukan Abu Hasan kepada pengundi di kawasannya.

Katanya, Abu Hasan perlu bertanggungjawab mengenai tindakannya itu kepada rakyat di DUN berkenaan dan sewajarnya meminta maaf kepada mereka.

“Saya tiada kuasa untuk memaafkan ADUN Kota Siputeh daripada sudut itu kerana kesalahan itu pada rakyat.

“Saya hanya melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Isa, beliau sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Isu Abu Hasan menjadi kontroversi selepas Abdul Isa menulis surat kepada SPR memaklumkan kerusi Kota Siputeh kosong kerana Abu Hasan dua kali berturut-turut tidak hadir persidangan DUN tanpa kebenaran Speaker pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, mana-mana anggota DUN yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker maka kerusi itu hendaklah dikosongkan.

Abdul Isa sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hasan bahawa beliau sakit dan turut menolak permohonan maafnya.(UM)

SUMBER: http://www.tkodaily.net/v2/modules.php?name=News&file=article&sid=916

No comments:

Post a Comment