Sunday, August 23, 2009

Syurga dan Neraka : Calon - calonnya ...


1. Umno dan BN sangat konsisten menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Anwar Ibrahim . Mereka menggunakan pelbagai sarana termasuk TV dan surat khabar tanpa henti . Secara politiknya , serangan itu dianggap usaha untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dan sekaligus melumpuhkannya.

2. Rupanya UMNO dan BN terlalu rapuh dan lemah . Saat ghairah mereka menyerang peribadi kedua - dua tokoh pemimpin itu , kelihatan mereka begitu gah dan perkasa menghunus segala senjata yang mereka miliki untuk menjatuh dan membunuh karektor lawan mereka . Namun sesekali berpeluang Pakatan Rakyat membongkar segala penyelewengan dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN , jelas mampu membuatkan mereka menggelumpur .

3. Terbaru apabila Tuan Guru menegaskan bahawa pengamal - pengamal Islam palsu tidak boleh masuk syurga . Suatu kenyataan membuatkan pemimpin UMNO dan BN seperti kehilangan arah lalu melepaskan peluru tabur kesegenap penjuru . Menggunakan akhbar dan TV tanpa simpati , berminggu - minggu tanpa henti . Tiada peluang Tuan Guru memberi penjelasan dan pencerahan bagi isu yang timbul .

4. Lebih malang mereka menggunakan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyerang setelah beberapa ahli akademik turut diseret untuk menyerang Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat . Malang yang saya maksudkan ialah bagaimana Majlis Fatwa Kebangsaan yang sangat lembab untuk mengeluarkan fatwa berkait isu ISA dan pelbagai isu besar yang melanda negara tetapi tiba - tiba berubah menjadi pantas mengeluarkan fatwa dalam isu "syurga" ini sehingga tidak sempat memanggil Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengadap dan mengambil keterangan dari beliau sendiri . Cukup laporan Utusan Malaysia , Majlis Fatwa bersidang dan mengeluarkan fatwa .

5. UMNO dan BN kelihatan sangat kecewa apabila disebut tidak boleh masuk syurga . Ertinya mereka masih menyimpan hasrat nak masuk syurga . Tetapi malang mereka seperti tidak memahami atau mengetahui bagaimana kriteria dan ciri - ciri ahli syurga atau dalam erti nilai yang lain , mereka nak masuk syurga kononnya tetapi melakukan perangai dan tingkah laku ahli neraka . Walhal ciri - ciri ahli syurga dan neraka ini telah dijelaskan oleh Allah swt dan rasulNya saw. Sementara Tuan guru Nik Abdul Aziz hanya mendedahkannya !

6. Sabda Rasul saw :

كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى قيل و من يأبى يا رسول الله
قال من أطاعني دخل الجنة و من عصاني فقد أبى

Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga . Sahabat bertanya : Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah ? Jawab Rasulullah saw : sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga .

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang , melanggar perintah Allah swt , melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan RasulNya .

7. Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama . Tidak peduli dosa dan pahala . Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat . Memburu kepentingan politik dan duniawi tanpa peduli halal dan haram . Demikianlah firman Allah swt :


فَأَمَّا مَنْ طَغَى وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى

Maka adapun sesiapa yang melampaui batas [ melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan ] dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka .

8. Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang maha Agong . Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt . Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah , judi , arak , zina , pecah amanah , zalim dan sebagainya . Firman Allah swt :


وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak .
Surah an Naazia't : 38 - 41

9. Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt , justeru Syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa . Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt .


تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا

Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba - hamba kami akan mereka yang benar - benar bertaqwa .
Surah Maryam : 63


10. Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :


بَلَى مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

bahkan mereka yang melakukan kejahatan [ rasuah , pecah amanah , judi , zina , arak , zalim , menganiaya dsbnya ] dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka , mereka pula kekal di dalamnya sementara orang - orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh , merekalah penghuni syurga , mereka pula kekal di dalamnya .
Surah Al Baqarah : 81

Ayat - ayat di atas , bolehlah dinilai oleh setiap individu , bagaimana keadaan kita . Ianya pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum . Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak . Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka .

Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu . Seperti kita menyebut kepada anak kita , hei awang ! jangan mencuri nanti kamu masuk neraka . atau sebaliknya hei awang ! sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga . Tentu tidak salah perkataan - perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak .

Tuan Guru adalah guru kepada ummah . Bukan sahaja mendidik anak tetapi ia mendidik seluruh masyarakat lalu ia berkata hei UMNO ! kalau kamu amalkan Islam Palsu , kamu tidak akan masuk syurga .

dipetik dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/08/syurga-dan-neraka-calon-calonnya.html

No comments:

Post a Comment